Pada kesempatan ini saya dan seluruh warga EXF6SMKKB 1990-91, merakamkan ucapan Selamat Menyambut Aidiladha yang bakal disambut pada Jumaat ini (Esok) 27 Nov. 2009. Aidiladha atau lebih dikenali Raya Haji atau Raya Korban begitu meriah bagi penduduk pantai timur. Maka tidak hairan jika ramai anak perantau yang berusaha untuk pulang kekampung halaman untuk sama-sama memeriahkan suasan korban. Suasana ini tentunya berbeza jika dibandingkan dengan kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur. Justeru, kepada mereka yang pulang berhati-hati dan jangan berlumba-lumba. Semoga selamat sampai ke kampung halaman.
Korban mempunyai sejarah tersendiri dalam Islam. Setiap kali kita menyambut Raya Korban maka tidak dapat tidak kita akan mengingati kembali kepada kepatuhan Nabi Ismail A.S terhadap arahan korban Allah SWT kepada Ayahandanya Ibrahim A.S. Kerana kekuatan iman dan yakin itu adalah arahan daripada Maha Pencipta, Nabi Ismail sedikitpun tidak membantah dan begitu juga dengan Nabi Ibrahim A.S.yang akhirnya Allah gantikan Nabi Ismail dengan binatang korban sebagai tanda ketaatan mereka. Pengorbanan Ismail A.S ini adalah simbolik yang penuh dengan pengajaran-Nya.
Nabi Ismail sebagai Qurban
Sewaktu Nabi Ismail mencapai usia remaja Nabi Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahawa ia harus menyembelih Ismail puteranya. Dan mimpi seorang nabi adalah salah satu dari cara-cara turunnya wahyu Allah, maka perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim. Mimpi itu telah membuatkan Nabi Ibrahim termenung memikirkan ujian yang maha berat yang ia hadapi. Sebagai seorang ayah yang dikurniai seorang putera yang sejak puluhan tahun diharap-harapkan dan didambakan, seorang putera yang telah mencapai usia di mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh si ayah, seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan penyampung kelangsungan keturunannya, tiba-tiba harus dijadikan qurban dan harus direnggut nyawa oleh tangan si ayah sendiri.
Namun, sebagai seorang Nabi,pesuruh Allah dan pembawa agama yang seharusnya menjadi contoh dan teladan kepada para pengikutnya dalam ketaatan kepada Allah, menjalankan segala perintah-Nya dan menempatkan cintanya kepada Allah mengatasi cintanya kepada anak, isteri, harta benda dan lain-lain. Ia harus melaksanakan perintah Allah yang diwahyukan melalui mimpinya, apa pun yang akan terjadi sebagai akibat pelaksanaan perintah itu.
Sungguh amat berat ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, namun sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanatkan risalahnya". Nabi Ibrahim tidak membuang masa lagi, berazam (niat) tetap akan menyembelih Nabi Ismail puteranya sebagai qurban sesuai dengan perintah Allah yang telah diterimanya. Dan berangkatlah serta merta Nabi Ibrahim menuju ke Makkah untuk menemui dan menyampaikan berita tersebut kepada puteranya.
Nabi Ismail sebagai anak yang soleh yang sangat taat kepada Allah dan bakti kepada orang tuanya, ketika diberitahu oleh ayahnya maksud kedatangannya kali ini tanpa ragu-ragu dan berfikir panjang berkata kepada ayahnya:
"Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu, agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar meringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat (yang terakhir) sampaikanlah salamku kepada ibuku berikanlah kepadanya pakaian ku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya."
Kemudian dipeluknya Ismail dan dicium pipinya oleh Nabi Ibrahim seraya berkata: "Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, bakti kepada orang tua yang dengan ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah".
Saat penyembelihan yang mengerikan telah tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah ia di atas lantai, sambil memegang parang di tangannya, kedua mata nabi Ibrahim yang tergenang air mata mengalih pandangan dari wajah puteranya kepada parang yang berkilau di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban seorang rasul di satu pihak yang lain. Akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan pada leher Nabi Ismail dan penyembelihan dilakukan . Namun, parang yang tajam itu menjadi tumpul dileher Nabi Ismail.
Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah yang menegaskan bahawa perintah perkorbanan Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail; sejauh mana cinta dan ketaatan mereka kepada Allah. Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian yang sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan perkorbanan puteranya untuk berbakti melaksanakan perintah Allah sedangkan Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam memperagakan kebaktiannya kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan.
Allah telah berfirman: "Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikkan". Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa, Nabi Ismail itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor kambing yang telah tersedia di sampingnya dan segera dipotong leher kambing itu oleh beliau.
Dan inilah asal permulaan sunnah berqurban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap Hari Raya Aidiladha di seluruh pelusuk dunia.
Salam Aidiladha
Samsul Bahrin Abdullah
(Pengerusi Pengelola EXF6 SMKKB 1990/91 sesi 2009)
26 Nov. 2009
No comments:
Post a Comment