Tersentuh dihatiku..sayu, pilu bercampur gembira...Tiupan angin luar teratakku sukar ditafsirkan. Jaluran cahaya sang rambulan menyimbahi laman resahku ini. Pastinya dikala semua insan lain lena diulit mimpi, kesunyian malam semakin terasa-mencengkam jiwa......
Buat kesekian kalinya, Ramadhan datang bertamu lagi. Suka atau tidak ia tetap menjenguk diri. Termenggu aku dilaman ini memikirkan adakah masih ada nyawa untuk aku bertemu ramadhan pada kali ini?.Lantas, merentap sebuah keresahan yang tiba-tiba... Ya Allah, semalam dan kelmarin aku berdosa.Hari ini aku pun masih terasa. Hari-hari yang kulalui penuh dengan calitan dosa..Semakin lama semakin mencengkam jiwa.Mengundang resah,gelisah - bagai sudah tiada terasa berdosa. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa yang aku rasai. Sepertiga malam aku mencari keredhaan-Mu kerana aku bimbang palitan dosa-dosaku ini mendapat kemurkaanMu. Aku takut YaAllah, untuk kembali bertemuMu dalam palitan dosa. Betapa kerdilnya aku-hambamu.
Ramadhan, hadirmu memberikan sedikit ruang dan peluang aku bertemu Sang Penciptaku -Allah. Hakikat yang aku akui hambaMu ini bukanlah insan yang soleh. Banyak hal yang aku sanggahi kerana menuruti kemahuan duniaku. Kerana dunia, aku terkadang lupa padaMu. Kerana dunia yang tidak kekal, aku terlena dalam pelukkannya. Kerana dunia yang tiada nilai ini, aku sanggahi syariatMu,YaAllah. Aku selalu bongkak meninggi diri dengan manusia yang lain lantaran bisikan iblis. Aku tahu setan itu musuh yang nyata, namun entah mengapa bisikan lembutnya terkadang berjaya memerangkapku.. Tolonglah yaAllah,aku insan yang lemah. Janganlah Kau datangkan kepadaku dugaan yang tidak mampu aku hadapi.
Kini, aku terpaksa tetapkan saat kematianku agar aku terus merasai ketakutan padaMu yaAllah. Andai takdir kematianku itu pada 1 syawal 2010, aku cuma ada 30 hari untuk aku terus menghirup udara dunia ini. Sebuah diari perjalanan yang singkat cuma dan tanpaku sedari hirupan udara itu telah sebenarnya mengurangkan jumlah hirupan yang masih berbaki untukku.
YaAllah..sebelum mata ini terpejam, berikan aku peluang untuk mendapat malam lailatul Qadar yang terakhir ini yaAllah. Malam yang penuh kenikmatan dan diimpikan semua. Aku mohon diberi kesempatan merebut semua fadhilat solat tarawikh yang Engkau ilhamkan kepada kekasihMu, Muhammad SAW. YaAllah, dengarilah rintihan hambaMu yang terlalu banyak dosanya yaAllah. Berilah peluang untuk aku menikmati Ramadhan kali ini lebih baik daripada tahun sudah. Tanpa redha dan rahmatMu, tiadalah kuasaku melainkan merintih merayu padaMu memohon keampunan atas dosa-dosa yang aku lakukan. Agar dikempatan ini aku dapat membersihkan palitan dosa untuk kembali bertemuMu dalam haruman wangian kesucian...Terima kasih YaAllah kerana memberikanku kudrat untuk bangkit dalam kepayahan ini mencari Ramadhan yang penuh keberkatan dan kerahmatan. Mencari cinta kasihMu.......Bertemu kekasih-kekasihMu menghirup wangian syurga!
No comments:
Post a Comment