PENDEDAHAN oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Nogeh Gumbek bahawa rakyat Malaysia membazirkan sebanyak 15,000 tan makanan sehari termasuk 3,000 tan yang masih boleh dimakan dan tidak sepatutnya dibuang, langsung tidak mengejutkan penulis.
Orang Malaysia memang terkenal cukup baik melayan tetamu. Tidak sah kalau berkunjung ke rumah kalau tidak dijamu makan. Penulis percaya majoriti rakyat Malaysia pun rasanya menerima pendedahan itu dengan dada terbuka. Tiada bantahan. Hal ini kerana pertamanya, Malaysia memang terkenal dengan jolokan ‘syurga makanan’. Seperti yang pernah penulis catatkan di ruangan ini, tanyalah kepada siapa sahaja orang asing atau pelancong, apa yang paling menarik perhatian mereka tentang Malaysia, pasti tanpa teragak-agak, food atau makanan, jawapannya. Hakikat yang penduduk negara ini berbilang kaum, bukan setakat Melayu, Cina dan India, tetapi ada pelbagai etnik lain, menambah kepelbagaian juadah tempatan. Itu belum dikira bermacam-macam restoran dengan citarasa luar negara khususnya dari nusantara dan rantau bagi memenuhi slogan Truly Asia.
Restoran dan kedai makanan Thai misalnya, melata di seluruh pelosok negara, walaupun orang Siam kecil sahaja bilangannya. Begitu juga dengan kedai mamak yang beroperasi tanpa henti 24 jam sehari 365 hari setahun. Jadi bayangkan sahaja berapa banyak makanan yang dihasilkan di dalam negara.
Faktor kedua yang membuatkan penulis tidak terkejut dengan pendedahan tentang pembaziran makanan itu ialah kerana orang Malaysia memang suka makan.
Walaupun lazimnya penduduk dunia makan sekurang-kurangnya tiga kali sehari, orang kita makan empat ke lima kali sehari. Ada yang makan sampai tujuh kali bermula dengan sarapan, minum pagi kira-kira pukul 10, makan tengah hari, minum petang, makan malam, diikuti tambul atau minum malam. Ini juga belum mengambil kira kudapan jajan sepanjang hari dengan segala macam kerepek dan keropok, kacang serta asam jeruk.
Hakikatnya orang Malaysia memang mewah dengan makanan.
Mungkin sebab itu juga terdapat ungkapan popular di negara ini bahawa “tidak ada orang mati kelaparan kerana tidak makan di Malaysia, sebaliknya yang ada, orang mati sebab terlebih makan”.
Hal ini berkait dengan faktor ketiga pembaziran makanan oleh rakyat Malaysia termasuk 3,000 tan yang belum dijamah iaitu sikap pemurah mereka.
Walaupun menjamu tetamu ini juga menjadi amalan penduduk di negara lain, layanan oleh rakyat Malaysia memang tip-top dan tidak ada tandingannya. Tetamu tidak hanya dihidangkan makanan pada waktu makan, sebaliknya tidak kira masa.
Datanglah bertandang pukul 3 petang pun tetap dijamu makan tengah hari. Datang pukul 8, 9, 10 bahkan tengah malam pun tetap ada hidangan. Paling tidak air teh atau kopi dengan kuih. Budaya makan tak ikut masa dan menjamu makan tidak kira bila ini yang tidak eloknya bukan hanya berlaku di rumah sebaliknya membawa ke pejabat, dalam organisasi dan institusi.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa, baru-baru ini terpaksa mengeluarkan arahan agar kementerian dan jabatan kerajaan tidak lagi menghidangkan makanan selepas makan tengah hari bagi mengelak pembaziran.
Agaknya kenapa sampai perlu diberi peringatan sebegitu? Sebabnya memang sudah menjadi kelaziman.
Tidak sah mesyuarat kalau tidak ada bajet untuk jamuan. Tidak kiralah mesyuarat itu berlangsung selepas sarapan pagi atau makan tengah hari. Tetap ada ‘light refreshment’ yang ‘tarafnya’ bukan biskut kering tetapi menunya bihun goreng dan roti jala atau paling lekeh pun dua biji kuih, biasanya karipap dan keria.
Teringat penulis ketika mengikuti program fellowship di Seoul, Korea Selatan, tidak lama dulu. Program padat sepanjang hari, kadang kala peserta iaitu beberapa wartawan dari rantau Asia dibawa ke tiga hingga empat lokasi namun makan tetap tiga kali.
Memandangkan kami sudah sarapan di hotel penginapan, tidak ada jamuan lagi di lokasi pertama. Tiada kuih, hanya air mineral dan jus botol. Program berakhir 10.30 pagi terus dibawa ke lokasi kedua untuk acara lawatan tapak pelupusan sampah moden sehingga pukul 12.30 tengah hari, barulah dihidangkan makan tengah hari.
Bergerak pula ke lokasi berikutnya untuk taklimat sehingga pukul 4.30 petang, pun hanya jus botol dan biskut jadi alas perut. Barulah bergerak ke restoran untuk jamuan makan malam.
Situasi yang sama dialami semasa mengikuti lawatan Timbalan Perdana Menteri ke London baru-baru ini. Orang putih hanya menjamu makan pada waktu makan. Tidak ada jamuan selagi belum masanya. Teguk sahajalah air mineral.
Masalahnya orang kita memang suka mencari alasan untuk makan. Maka waktu sarapan pukul 7 hingga 8 pagi boleh diulang sekali lagi dengan minum pukul 10 pagi. Selepas itu lunch pukul 12.30 tengah hari hingga ke pukul 2 petang. Pukul 4 minum petang pula. Tidak sampai dua tiga jam kemudian kita isi perut dengan makan malam.
Logiknya perut masih kenyang, dijamu makanan yang lazat macam mana pun tidak disentuh, lantas ke tong sampah akhirnya. Maka berlakulah 15,000 tan makanan dibuang oleh rakyat Malaysia sehari. Jumlah yang kalau dihantar kepada kanak-kanak yang kebuluran di Afrika, atau pelarian Syria, dapat mengisi perut mereka berhari-hari.
Justeru sesuatu perlu dilakukan untuk menangani isu pembaziran makanan oleh kita rakyat Malaysia.
Jolokan ‘syurga makanan’ tidak bermakna kita perlu bermewah-mewah secara melampau dan berlebihan sehingga membazir. Hidup bukan untuk makan, tetapi makanlah untuk hidup. Yang pasti kalau terlebih makan, segala penyakit bertandang dan memang susah untuk hidup.-Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment