Selamat Datang..

Selamat Datang Ke Blog Bekas Pelajar Ting.Enam SMK Kuala Besut (Batch Pertama 1990/91). Kami Mengalu-alukan Sebarang Cadangan Daripada Anda

PENGUMUMAN TERKINI

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1439H
Maaf Zahir & Batin
Eratkah Silaturrahim

PENAFIAN

PERINGATAN: Pengendali dan ExF6SMKKB90/91 tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Monday, September 5, 2011

Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bekas Guru & Pelajar Ting. Enam SMKKB

Syabas dan tahniah kepada EXF6SMKKB 90/91 yang telah berjaya mengadakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 2011 tempohari. Ia suatu usaha murni yang wajar diteruskan. Saya difahamkan majlis seumpama ini bukanlah pertama kali dianjurkan. Pada 2009, EXF6SMKKB 90/91 buat pertama kalinya berjaya mengumpul 15 orang rakan mereka di dewan AsSyafie,SMKKB sebagai simbolik kenangan lalu. Atas kesedaran persahabatan itu amat berharga, mereka telah sekali lagi berjaya mengadakan majlis tersebut pada tahun lepas, dengan memilih Hotel 1 Utama,Jerteh sebagai lokasi perjumpaan kedua.




Setelah dua kali menganjurkan majlis tersebut, mereka rasa kecewa kerana penyertaanya masih 15 orang (2010 & 2009). Pengerusi EXF6SMKKB 90/91 merasakan ia tidak berbaloi dengan kos perancangan, namun kerana masih ada yang menyokong usaha seumpama ini, beliau telah memanggil mesyuarat AJK Penganjuran bagi membincangkan kewajaran diadakan majlis, persiapan majlis dan sebagainya. Akhirnya pada 1 Sept. 2011, berlakulah majlis tersebut dan sekali lagi SMKKB menjadi lokasi pilihan.



UCAPAN PENGERUSI.



Pengerusi EXF6SMKKB 90/91 melahirkan rasa kecewa diatas kelewatan rakan-rakan ke majlis tersebut. Mengikut jadual asal, majlis akan bermula pada pukul 9.30 pagi dan berakhir pada 12.00 tengahari (Tentatif telah diwar-warkan dalam blog dan Facebook). Majlis bermula pada jam 11.00 pagi iaitu penangguhan selama 1 jam 30 minit daripada jadual asal. Kelewatan ini telah menyebabkan beberapa rancangan awal terpaksa dibatalkan.




Pada saya ada asasnya jika pengerusi mengkritik kita (Melayu). Ini kerana, kebanyakkan daripada kita masih tidak ambil kisah dengan masa. Jarang kita menepati masa. Kebiasaannya lewat dan yang menyedihkan apabila kita tidak pernah rasa bersalah dengan kelewatan itu. Kita merasakan itu perkara biasa.



Meskipun kita rasa marah bila dikritik, namun kita perlu terima hakikat mentaliti kita masih ditakuk lama. Bilakah kita akan merubah paradigma kita?.



PERLU MENCONTOHI KEJAYAAN PERSATUAN LAIN



Kita patut bangga dengan persatuan kita. Jika persatuan bekas pelajar daripada sekolah-sekolah lain boleh rasa gah dan bangga dengan persatuan mereka, mengapa tidak kita? Sebelum EXF6SMKKB 90/91 mempelopori usaha merapatkan hubungan dengan bekas guru dan rakan-rakan yang telah sekian lama terpisah, pelbagai cadangan dan pandangan dilontarkan, namun kemana perginya pencadang dan penyokong tersebut? Inilah yang dikatakan melaksanakan sesuatu idea tidak semudah melontarkan idea itu. Jika kita mampu lontarkan idea, namun tidak bersama-sama merealisasikannya, ia adalah sesuatu yang amat malang untuk kita.



Kita perlu mencontohi persatuan sekolah lain; belajar dan menambahbaik kepada persatuan kita agar hasrat sebenar tercapai.Kita perlu ada sikap berpasukan bukannya membiarkan pengerusi dan AJK 'one man show'. Tanpa dokongan dan sokongan, usaha murni menemui jalan kegagalan.



Kita tidak boleh lagi mengharapkan tongkat untuk kita berdiri. Kita tidak perlu lagi mengharapkan suapan rezeki kebibir atau seteguk air membasah tegkuk penghilang dahaga. Kita perlu bangkit bersama semangat juang. Bangkit untuk menempa kejayaan anak bangsa. Meskipun SMKKB telah lama kita tinggalkan, namun apakah tiada sedikit ilmu yang boleh kita kongsikan untuk generasi kini menempuhi ranjau sebagaimana yang pernah kita sama-sama lalui dulu? Atau membiarkan mereka kerana kita telah lama tinggalkan bangku itu!




PELUANG JUMPA GURU & KAWAN.



EXF6SMKKB 90/91 sekali lagi membuka ruang kepada kita kali ini untuk kita berjumpa dengan kawan-kawan kita yang telah hampir 21 tahun terpisah. Namun kali ini, majlis ini terbuka kepada semua bekas pelajar tingkatan enam buat julung kalinya. Seharusnya jemputan untuk menghadirkan diri ke majlis ini tidak dilepaskan. Peluang itu tidak selalunya datang.




Apalah kita terlalu berkira dengan kos masa dan tenaga kita? Bukankah pihak penganjur pun mempunyai kos sebegitu bahkan lebih daripada kita! Mereka tidak berkira dengan kos yang terpaksa mereka tanggung setiap kali mesyuarat diadakan. Apa yang penting, usaha mengumpul dan mempertemukan kawan-kawan ditengah-tengah kemeriahan Aidilfitri dapat ditunaikan. Mereka melakukan yang terbaik menerusi blog,facebook dan juga SMS.Lalu kenapa kita melepaskan peluang terhidang ini dan berkira-kira untuk hadir? Jawapannya mudah; hendak seribu daya, tak nak seribu alasan. Memberi alasan bagi mereka yang beralasan amat mudah, mungkin kerana bagi diri mereka majlis seumpama ini tiada memberikan apa-apa manfaat. Namun kepada mereka yang benar-benar ingin bersahabat, mereka melihat persahabat dalam skop yang luas dan jangka masa panjang.




Jika penasihat EXF6SMKKB 90/91 boleh bersama-sama luangkan masa setiap kali mesyuarat dan sedia untuk bersua muka dengan semua bekas pelajarnya, saya tidak nampak kerjakuat anak-anak muridnya (bekas pelajar ting. enam) untuk sebuah pertemuan yang bermakna. Mereka bagaikan tiada apa-apa nilai sentimentel. Sepatutnya peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk pelbagai keperluan. Saya juga terkilan kerana tidak ramai bekas guru yang sudi hadir bertemu dengan bekas muridnya. Apakah tiada masa untuk bertemu dalam tempoh hanya 3-4 jam setahun sekali?! Alasannya banyak komitmen keluarga. Namun bagaimana kiranya anda menerima undangan YB atau VVIP ke majlis ini pada setiap tahun? Apakah anda akan berikan alasan sama? Atau setiap kehadiran akan dibayar barulah tiada lagi kedengaran seribu alasan?


Sepatutnya sebelum bersurai daripada majlis, kita telah ada perancangan untuk tahun depan agak penyertaan dan kemeriahan hari ini lebih dirasai lagi. Namun apakah kita mempunyai semangat itu?



Sebagai mengakhiri bicara, sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada EXF6SMKKB 90/91 diatas penganjuran majlis tersebut meskipun terkilan dengan jumlah kehadiran yang sikit (memetik luahan pengerusi EXF6SMKKB 90/91)- tidak setimpal dengan kos promosi. Namun sedikit sebanyak ia mampu mengubat rindu dan membuka lembaran baru kepada kami generasi pewaris untuk sama-sama melihat persatuan ini boleh gah dan bangga dengan persatuannya. Ia bukannya sebuah persatuan datang-sembang-makan-balik semata-mata namun ia mampu memberikan impak kepada pihak sekolah khususnya pelajar tingkatan enam. Diharapkan usaha ini dapat diteruskan pada tahun hadapan.



Kepada EXF6SMKKB 90/91 anda perintis jalan, seharusnya menzahirkan kekuatan anda dan bukannya membiarkan laluan itu kembali dipenuhi semak-lalang. Semua bekas guru dan pelajar tingkatan enam SMKKB bermula sesi pertama sehimgga kini perlu ubah paradigma, ubah persepsi. Bukan senang untuk menggerakkan sebuah persatuan tanpa sokongan. Nakhoda dan laksama yang hebat belum tentu menang dimedan perang kiranya memiliki jumlah askar yang tidak cekap dan hebat!. Kami mencontohi anda!



Maaf andai kata-kata ini mengguris hati anda.

TEBUAN @ hotmail












No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Daun Keladi