Selamat Datang..

Selamat Datang Ke Blog Bekas Pelajar Ting.Enam SMK Kuala Besut (Batch Pertama 1990/91). Kami Mengalu-alukan Sebarang Cadangan Daripada Anda

PENGUMUMAN TERKINI

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1439H
Maaf Zahir & Batin
Eratkah Silaturrahim

PENAFIAN

PERINGATAN: Pengendali dan ExF6SMKKB90/91 tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Wednesday, June 21, 2017

Perutusan Aidil Fitri 1428H

Segala puji-pujian kepada Allah SWT kerana dengan izinNya maka dapat kita sekali lagi menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Kini Ramadhan telah hampir ke penghujung dan akan meninggalkan kita dengan penuh pertanyaan diri-adakah kita benar-benar menghayati Ramadhan atau ia sama seperti bulan-bulan hijrah lain?. Namun, kita mengharapkan semoga ibadah berpuasa, zakat juga sedekah yang dilaksanakan disempurnakan dengan ikhlas disepanjang bulan barokah ini diterima sebagai amal ibadah disisiNya. Puasa mengajar kita erti kesenggsaraan serta keperitan mereka yang menderita tanpa makanan adalah ibadat yang mendorong serta menggerakkan seseorang ke arah tingkah laku yang baik dan terpuji di samping menjauhi segala perkara yang ditegah-Nya. 

Hari ini kita lihat, di negara kita khususnya, bunyi mercun, meriam buluh, mainan bunga api semakin rancak apabila menjelang Syawal. Seolah-olah dentuman mercun dan letupan bunga api itu satu adat yang mesti diikuti dari generasi ke generasi setiap kali menjelang Syawal, sedangkan di negara barat, anak-anak muda Islam di sana tidak kenal pun apa itu mercun, bunga api atau meriam buluh, melainkan ketika perayaan hari kemerdekaan negara masing-masing. 

Awal-awal puasa lagi kita di sini telah dipromosikan dengan pelbagai bentuk hiburan hari raya, baik melalui media cetak mahupun media elektronik, dan lagu-lagu raya semakin kerap berkumandang di udara, sehinggakan ramai menangis bukan kerana Ramadhan akan meninggalkan kita dengan membawa bersamanya Malam Lailatul Qadr, tetapi pilu mendengar lagu Dendangan Anak Perantau di pagi raya.

Seperkara lagi yang mengalihkan usaha kita untuk memenuhi masjid semasa Ramadhan ialah kita di Malaysia ini terlalu didedahkan dengan program berbuka puasa dengan tawaran "Buffet Berbuka Puasa" di restoran ternama dan hotel bertaraf antarabangsa. Manakala umat Islam di negara barat pula lebih gemar mengadakan majlis berbuka puasa di masjid bagi mengeratkan lagi hubungan antara mereka, di samping dapat menjimatkan belanja serta memudahkan mereka menunaikan solat Tarawih.

Semoga ibadah berpuasa yang kita tahan lapar, dahaga serta perkara-perkara yang membatalkannya ini telah mencetuskan kesedaran dan keinsafan untuk kita memperbetulkan kesilapan lalu serta memperbaiki lagi kualiti serta prestasi diri. 

Marilah kita sama-sama membentuk semula roh aidilfitri dalam kalangan anak generasi kini yang bagai 'terpesong' dari maksud aidilfitri - bermaafan serta kunjung mengunjung mengeratkan silaturrahim. Generasi kini mengunjungi rumah ke rumah 'tanpa ada rasa' roh silaturrahim - mereka melihat kepada kebendaan- siapa yang beri duit dengan nilai yang besar. Ia berbeza dengan generasi terdahulu yang meraikan aidilfitri dengan penuh rasa semangat kekitaan. Kita perlu perbetulkan kefahaman anak generasi kini tentang duit dan silaturrahim kerana matlamat kita dalam budaya kunjung mengunjung itu ialah bermaafan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan -silaturrahim bukan berapa jumlah duit yag diperolehi.

Lebih menyedihkan, kita lihat generasi hari ini lebih sibuk dengan gajet daripada amalan tersebut sehingggakan mereka bagai tidak kisah siapa yang datang berkunjung. Sajian media hiburan juga menyebabkan amalan kunjung mengunjung itu makin lesu dalam budaya kita kerana anak generasi kini lebih tertarik dengan sajian hiburan daripada ziarahi sanak saudara, rakan taulan. Maka tidak hairanlah hubungan antara sanak saudara itu kurang rapat atau mesra kerana masing-masing sibuk dengan 'dunia masing-masing'.

Menjelang Aidilfitri ini, saya ingin mengajak warga EXF6SMKKB90/91 khususnya dan warga SMKB amnya untuk bersama-sama merubah senario negatif dalam kalangan anak generasi kita hari ini ke arah yang lebih bermanfaat - eratkan silaturrahim- tinggalkan seketika gajet-gajet itu-tinggalkan budaya main mercun. 

Saya juga menyeru kepada semua untuk tingkatkan kualiti pengetahuan diri dalam mendepani cabaran dunia semasa. Sekiranya mempunyai masa lapang, sama-samalah kita membantu antara satu sama lain dan berusaha meningkatkan ilmu serta kemahiran yang berkaitan dengan tugas kita dan sentiasa muhasabah diri mengenai tugasan seharian bagi memastikan hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok jauh lebih bermakna dan cemerlang daripada hari ini.

Kita akan mula bercuti tidak lama lagi serta ramai yang akan mula pulang ke kampung halaman masing-masing. Jaga keselamatan diri dan keluarga pada setiap masa, di mana jua kita berada. Patuhilah peraturan keselamatan yang telah ditetapkan dan berhati-hati semasa di jalan raya. Pastikan juga agar rumah serta harta benda yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat dan teratur.

Akhir kata, saya amat berharap agar Aidilftri 14128H/2017 ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kemeriahan, kesyukuran dan keikhlasan. Satukan tangan, satukan hati, itulah indahnya silaturrahim. 

Salam Aidilfitri. Maaf, Zahir dan Batin.

Samsul B.A
Penghulu ExF6SMKB90/91


No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Daun Keladi