Selamat Datang..

Selamat Datang Ke Blog Bekas Pelajar Ting.Enam SMK Kuala Besut (Batch Pertama 1990/91). Kami Mengalu-alukan Sebarang Cadangan Daripada Anda

PENGUMUMAN TERKINI

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1439H
Maaf Zahir & Batin
Eratkah Silaturrahim

PENAFIAN

PERINGATAN: Pengendali dan ExF6SMKKB90/91 tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Wednesday, June 13, 2018

Raikan Aidilfitri Dengan Penuh Ukhuwah

Segala puji-pujian kepada Allah SWT kerana dengan izinNya maka dapat kita sekali lagi menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Kini Ramadhan telah hampir ke penghujung dan akan meninggalkan kita dengan penuh pertanyaan diri-adakah kita benar-benar menghayati Ramadhan atau ia sama seperti bulan-bulan hijrah lain?. Namun, kita mengharapkan semoga ibadah berpuasa, zakat juga sedekah yang dilaksanakan disempurnakan dengan ikhlas disepanjang bulan barokah ini diterima sebagai amal ibadah disisiNya. Puasa mengajar kita erti kesenggsaraan serta keperitan mereka yang menderita tanpa makanan adalah ibadat yang mendorong serta menggerakkan seseorang ke arah tingkah laku yang baik dan terpuji di samping menjauhi segala perkara yang ditegah-Nya. 

Politik Baru Malaysia -Hari ini kita diera pentadbiran politik baharu mengharapkan agar sesuatu yang lebih baik dapat dinikmati. Perang psikologi, perang siber dan segala macam bahan kempen telah berlalu. Tumpuan kita kini kearah membawa Malaysia yang lebih baik - masa untuk berkerja. Bicara politik kita tinggalkan kepada ahli politik kerana mereka diberi mandat oleh kita untuk memimpin, memikir dan bertindak secara jujur,amanah serta berintegriti selari dengan tuntutan Islam dalam membawa Malaysia Sejahtera dan Harmoni. Jika hendak berpolitik, biarlah secara matang. Jawatan yang disandang bukan kekal abadi tetapi ia satu amanah rakyat yang perlu dilaksanakan dengan adil dan saksama. Ia akan diperhitungkan kelak.

Roh Ramadhan -Kehadiran Ramadhan sering dinantikan. Ramdhan cukup sinonim dengan lapar dan dahaga. Ia bukan sekadar dilihat pada sudut individualistik semata-mata namun lapar dan dahaga yang dilalui itu memberi kesan sejagat. Ramadhan telah mengetuk pintu hati-hati yang keras kerana kekenyangan selama 11 bulan yang membuat insan iti alpa terhadap golongan fakir, galangdangan dan sebagainya. Bulan-bulan yang ada dalam kalendar itu adalah biasa sahaja namun kehadiran Ramadhan ia menjadikan salah satu daripada bulan-bulan itu hebat. Bulan ini menghidangkan pahala berlipat kali ganda bagi setiap amalan yang dikerjakan termasuklah sedekah. Malam-malam yang kita lalui juga adalah biasa sahaja namun pada bulan ini terdapat satu bulan yang cukup istimewa. Ia adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan - Al Qadr. Beruntunglah mereka yang memperolehi malam tersebut.Bulan ini dikatakan bulan barokah.

Suka Duka Ramadhan -Hari-hari yang kita lalui di bulan Ramadhan tahun ini penuh dengan episod duka dan lara. Kalau dahulu kita berdoa untuk kemenangan umat islam di Palestin, Afghanistan, Chechnya dan Iraq tetapi kini koleksi album penderitaan umat Islam di tambah kepada nasib umat di Syria dan Rohingya. Semoga mereka diberikan izzah dan kemenangan keatas tentera-tentera kuffar. Moga Ramadhan yang kita lalui mengajar kita erti maqasid di dalam peta perjuangan. Perjuangan akan gagal jika hilang fiqh maqasid. Harokah lemah apabila tiada fiqh maqosid di dalam gerak amal dan gerak haraki. Kefahaman yang mendalam ini meletakkan bahawa pra-syarat kejayaan perjuangan ialah memahami maqasid perjuangan Islam. Fiqh maqasid akan menunjangi perjuangan harokah dan meletakkannya berjalan mengikut marhalah (fasa-fasa). Tiada jalan pintas untuk menang tetapi memintaskan jalan kemenangan dengan memahami maqasid perjuangan. Semoga Ramadhan benar-benar menjiwai kehidupan kita sebagai pejuang fi sabilillah.

Perbetulkan persepsi raya- Marilah kita sama-sama membentuk semula roh aidilfitri dalam kalangan anak generasi kini yang bagai 'terpesong' daripada maksud aidilfitri - bermaafan serta kunjung mengunjung mengeratkan silaturrahim. Kita faham bahawa, generasi era teknologi maklumat ini tidak boleh terpisah dengan telefon tangan hatta ketika mengunjungi rumah ke rumah  seolah-olah 'tiada rasa' roh silaturrahim - mereka sibuk melayani gajet. Mereka lebih sibuk dengan gajet daripada amalan tersebut sehingggakan mereka bagai tidak kisah siapa yang datang berkunjung. Sajian media hiburan juga menyebabkan amalan kunjung mengunjung itu makin lesu dalam budaya kita kerana anak generasi kini lebih tertarik dengan sajian hiburan daripada ziarahi sanak saudara, rakan taulan. Maka tidak hairanlah hubungan antara sanak saudara itu kurang rapat atau mesra kerana masing-masing sibuk dengan 'dunia masing-masing'. Jika hadir pun bukan kerana roh silaturrahim,tetapi 'paksa rela ibubapa'. Budaya raya kini seolah-olah bulan 'kumpul duit'. Mereka seolah-olah mengambil kesempatan syawal untuk mengumpul duit raya. Entah siapa yang 'memesongkan' konsep atau maksud sebenar Aidilfitri ini ke dalam diri mereka? - Siapa yang beri duit dengan nilai yang besar, dikira bagus berbanding nilaian kecil. Bayangkan apa perasaan seorang makcik tua yang sekadar mampu beri dalam nilaian kecil, tiba-tiba anak-anak kita cakap "RM1 jer?,jiran sebelah RM5.00". Betapa luluh hati seorang makcik mendengar ucapan anak-anak ini. Sedangkan mereka tidak tahu, betapa susahnya makcik ini kumpul duit untuk meraikan hari kemenangan ini. Suasana ini berbeza dengan generasi terdahulu yang meraikan aidilfitri dengan penuh rasa semangat kekitaan. Kita perlu perbetulkan kefahaman anak generasi kini tentang duit dan silaturrahim kerana matlamat kita dalam budaya kunjung mengunjung itu ialah bermaafan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan -silaturrahim bukan berapa jumlah duit yang diperolehi.

Menjelang Aidilfitri ini, kami ingin mengajak warga EXF6SMKKB90/91 khususnya dan warga SMKB amnya untuk bersama-sama merubah senario negatif dalam kalangan anak generasi kita hari ini ke arah yang lebih bermanfaat - eratkan silaturrahim- tinggalkan seketika gajet-gajet itu-tinggalkan budaya main mercun. 

Kita akan mula bercuti serta ramai yang akan mula pulang ke kampung halaman masing-masing. Jaga keselamatan diri dan keluarga pada setiap masa, di mana jua kita berada. Patuhilah peraturan keselamatan yang telah ditetapkan dan berhati-hati semasa di jalan raya. Pastikan juga agar rumah serta harta benda yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat dan teratur.

Akhir kata, kami amat berharap agar Aidilftri 1439H/2018 ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kemeriahan, kesyukuran dan keikhlasan. Satukan tangan, satukan hati, itulah indahnya silaturrahim. 

Salam Aidilfitri. Maaf, Zahir dan Batin.

Pemantau

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Daun Keladi