Selamat Datang..

Selamat Datang Ke Blog Bekas Pelajar Ting.Enam SMK Kuala Besut (Batch Pertama 1990/91). Kami Mengalu-alukan Sebarang Cadangan Daripada Anda

PENGUMUMAN TERKINI

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1439H
Maaf Zahir & Batin
Eratkah Silaturrahim

PENAFIAN

PERINGATAN: Pengendali dan ExF6SMKKB90/91 tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Friday, January 27, 2017

SMK Kuala Besut

Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut atau nama ringkasnya SMK Kuala Besut, merupakan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan yang terletak di Kuala Besut, Besut, Malaysia.
Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut ditubuhkan  pada tahun 1970 dan dirasmikan oleh Tun Musa Hitam merangkap Menteri Pelajaran ketika itu.  Nama sekolah ini diambil sempena nama Pekan Kuala Besut. Pada awalnya SMk Kuala Besut terdiri daripada dua bangunan batu 2 tingkat dan sebuah kantin, manakala jumlah pelajar adalah seramai 128 orang.  Tuan Haji Hassan b Said telah dilantik sebagai pengetua yang pertama
Pada tahun 1977 bangunan tambahan telah dibina merangkumi bangunan 3 tingkat, bengkel seni perusahaan, 2 unit rumah guru dan sebuah padang permainan.  Pada tahun 1978, dibina pula 2 buah asrama sementara yang terdiri daripada rumah-rumah sewa yang dibiayai oleh Yayasan Terengganu dan Majlis Kebajikan Masyarakat.
Pada tahun 1990, SMK Kuala Besut buat julung kalinya mewujudkan kelas untuk pelajar Tingkatan Enam dengan mewujudkan dua kelas pengajian iaitu Pengajian Syariah dan Sastera/Ekonomi. Ia merupakan sekolah pertama yang mewujudkan dua kelas seumpama ini di Besut dan secara tidak langsung telah memberi peluang kepada pelajar daripada aliran sekolah agama yang gagal melanjutkan persekolahan ke tingkatan enam di sekolah aliran agama (gagal bahasa arab – subjek teras dan pra syarat untuk sambung tingkatan enam aliran agama) menyambung pengajian tingkatan enam mereka di SMK Kuala Besut. Keputusan sulung STPM90/91 telah melonjak SMK Kuala Besut dipersada pendidikan PPD Besut kerana memperolehi keputusan terbaik mengatasi sekolah tingkatan enam elit lain. Keputusan ini bukan sahaja membangga seluruh tenaga pengajar tingkatan enam malahan seluruh warga SMKB yang telah membuktikan bahawa SMK Kuala Besut mampu bersaing dan setaraf dengan sekolah-sekolah lain di Besut.  
Pada 2009, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut memiliki 829 pelajar lelaki dan 832 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1661 orang. Ia mempunyai seramai 120 orang guru.2009

SMK Kuala Besut terletak di Kampung Gertak Seratus, kira-kira 2km dari pekan Kuala Besut. Ia dihungungkan dengan jalan utama K.Besut ke Tok Bali dan tidak jauh dari sempadan Daerah Besut,Terengganu – Daerah P.Puteh,Kelantan

 
exf6smkkb
Lokasi SMKB dan Pekan Kuala Besut

exf6smkb
SMK Kuala Besut


Fakta Angka
1977
Dibina bangunan 3 tingkat, Bengkel Seni Perusahaan, 2 unit rumah guru dan sebuah padang permainan

1978
Dibina 2 buah asrama sementara dibiayai oleh Yayasan Terengganu d an Majlis Kebajikan Masyarakat

1985
Dewan tertutup dibina. Pada tahun 2001 dewan ini ditutup dan dijadikan stor. Pada tahun 20 08 dewan ini diubahsuai menjadi 3buah kelas.

1990

1997
Pengambilan pertama pelajar Tingkatan Enam  (Aliran Syariah & Ekonomi)

Surau baharu dibina

2002
Dewan baharu dibina .  Pada tahun 2010 dewan ini diberi nama Dewan As-Syafie.
2003
Bangunan Programn Kelas Khas Pembelajaran (PKBP) dibina dan mula beroperasi

2004
Asrama baharu dibina

2006
Kelas menservis motosikal  (MPV) dibuka

2011
Galeri Gemilang telah dibina dan dirasmikan oleh Tn Hj Berahim b Embong pada tahun 2011 selaku Pengetua pada masa tersebut


Nota: Tidak banyak maklumat yang diperolehi tentang sejarah SMKB. InsyaAllah PEMANTAU akan dapatkan maklumat lanjut dan akan kemaskinikan.



Rujukan: cgzalena.blogspot.com

Sejarah Besut


Besut merupakan daerah yang terletak di utara negeri Terengganu. Ia bersempadan dengan negeri Kelantan di utara, daerah Setiu di selatan dan Laut China Selatan di timur. Pantainya bertanah beris dan menghadap pulau yang terkenal seperti Pulau Kapas, Pulau Perhentian, dan Pulau Redang. Penduduk Besut bertutur dalam bahasa Melayu loghat Kelantan.Dan ada juga sebahagian kecil penduduk Besut bertutur dalam bahasa malayu loghat Terengganu. Jerteh merupakan Ibu Daerah Besut yang terletak berhampiran dengan Negeri Kelantan,manakala Kota Putera ( sebelumnya dikenalai sebagai Kampung Raja) merupakan Pusat Pentadbiran Daerah Besut yang terletak berhampiran dengan Pekan Pelancongan Kuala Besut.
Keluasan Daerah Besut ialah 123,367.8ha iaitu kira-kira 9.52% daripada keluasan negeri Terengganu. Daerah Besut mempunyai anggaran penduduk 158,600 orang (Melayu 153,000 orang, Bumiputera lain 300 orang, Cina 2,500 orang, India 200 orang, Lain-lain 500 orang dan bukan bumiputera 2,100 orang) iaitu kedudukan kelima teramai bagi negeri Terengganu. Bagi sektor gunatanah pula memperlihatkan pertanian 34,141.28ha (27.7%), bangunan 5,095.16ha (4.1%),Industri 236.59ha (0.2%.),Rizab Hutan 56,542.00ha (45.8%),Lain-lain 27,352.77ha (22%)  (data 2014 UPEN Terengganu), Kadar Pertumbuhan Penduduk Purata 1.39% (Data 2009UPEN Terengganu)

Bukti bertulis yang paling awal menyentuh mengenai daerah ini cuma sedikit, catatan Munsyi Abdullah dalam Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan dari buku Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji.
Oleh kerana tidak terdapat bukti-bukti bertulis mengenai sejarah awal Daerah Besut, maka terdapat berbagai-bagai cerita yang menerangkan asal usul Besut. Ada yang mengatakan Besut dahulunya adalah bekas Jajahan Negeri Kelantan.
Salah satu cerita terkenal mengenai asalnya nama Besut ini ialah kononnya berpunca dari zaman dahulu di mana dikatakan Daerah Besut ini merupakan salah satu kawasan di bawah kuasa Kerajaan Siam.
Mengikut salah satu cerita nama Besut timbul dari perkataan ”BE” yang dalam bahasa Siam bermakna daerah manakala ”SUT” menggambarkan satu tempat atau kawasan yang paling jauh atau penghujung. Ini mungkin betul berdasarkan faktor betapa jauhnya Bangkok yang merupakan Pusat Pentadbiran Siam dengan Daerah Besut ini.
Cerita lain mengenai asal usul nama Besut ialah kononnya kawasan ini dahulunya diperintah oleh seorang raja yang digelar Raja Sang Nyanya. Beliau ialah ketua lanun yang sangat zalim dan ini menyebabkan tidak ramai orang yang tinggal di kawasan ini. 

Selepas kematiannya barulah kawasan ini didiami orang dan salah satu kumpulan penduduk terdiri dari orang Pangan yang diketuai oleh seorang yang bernama BESUT. Dipercayai nama BESUT adalah berasal dari nama ketua orang Pangan tersebut.

Kesemua cerita yang mengaitkan asal usul nama daerah ini memang tidak dapat dibuktikan kerana tidak ada bukti yang bertulis. Bukti yang paling awal menyentuh mengenai daerah ini cuma sedikit sebagaimana catatan Munsyi Abdullah dalam Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan dari buku Tuffatul Nafis karangan Raja Ali Haji.
Dalam catatan ini ada diceritakan mengenai sekumpulan pedagang dari Pattani ( Selatan Siam ) telah datang ke Besut dengan diketuai oleh seorang yang bernama Cik Latif. Adalah dipercayai Cik Latif berasal dari Sumatera dan telah biasa berdagang di Patani . Dengan menawarkan segantang mata kail,dikatakan Cik Latif berjaya memujuk orang-orang Pangan keluar dari daerah ini ke Hulu Besut. Beliau dan orang-orangnya telah berjaya membina sebuah perkampungan di tebing sungai Besut yang diberi nama Palembang mungkin mengambil nama sempena nama tempat asal beliau di Sumatera. Palembang merupakan pusat pentadbiran yang pertama di Besut sebelum Kampung Raja (sekarang dikenali sebagai Kota Putera).
Bila Cik Latif meninggal dunia, beliau diganti oleh anaknya bernama Cik Kamat. Semasa pemerintahan Cik Kamat Daerah Besut berada dalama keadaan huru-hara kerana ancaman dari perompak lanun yang bermaharajalela di pulau-pulau yang berada disekitar laut daerah ini. Dalam buku pelayaran Pelayaran Abdullah ke Kelantan, Abdullah Munsyi ada menceritakan kegiatan lanun-lanun di kawasan ini. Dikatakan lanun-lanun ini diketuai oleh Panglima Ebeh dan Panglima Garang.
Untuk menghadapi ancaman lanun-lanun ini, Cik Kamat tidak berdaya untuk menentangnya dan beliau telah membuat keputusan meminta bantuan dari Terengganu. Permohonan beliau dipersetujui oleh Sultan Terengganu masa itu iaitu Sultan Mansur 1, yang dikenali sebagai Marhum Berjanggu (memerintah Terengganu dari 1726-1793). Sultan Mansur I telah menghantar angkatan tentera yang diketuai oleh putera baginda iaitu Tengku Abdul Kadir.
Tengku Kadir dan tentera di bawah pimpinannya berjaya mengalahkan lanun-lanun tersebut dan memaksa lanun-lanun tersebut berundur ke Pulau Perhentian.
Sebagai penghargaan diatas kejayaan beliau mengalahkan lanun-lanun berkenaan, Tengku Kadir telah diberi kuasa oleh Sultan Terengganu untuk memerintah Besut dengan gelaran Raja Besut. Cik Kamat pula dilantik sebagai Orang Besar Besut serta mendapat hak di atas Pulau Rhu.
Tengku Kadir yang menjadi Raja yang pertama Negeri Besut mengambil langkah untuk memperkuatkan kedudukan dan pemerintahannya dengan membina benteng di sepanjang Sungai Besut berhampiran dengan Kota Palembang dan kemudian mendirikan tempat kediaman yang baru di Kampung Raja.
Tengku Kadir yang mangkat pada 1835, telah digantikan oleh puteranya Tengku Ali. Semasa pemerintahannya telah berlaku peperangan antara Besut dengan Terengganu. Mengikut Tuan Haji Salleh bin Haji Awang dalam buku ”Mengkaji Sejarah Terengganu”, peperangan ini dikenali sebagai Peperangan Besut. Institusi Beraja di Besut bergolak semasa pemerintahan Tengku Ali.
Peristiwa pemberontakan beliau terhadap Sultan Omar di Kuala Terengganu berlaku pada 23 Syawal 1292/1876 masihi akibat dasar Sultan Omar yang memerintah daerah-daerah secara langsung.
Tengku Ali secara rahsia berusaha mendapat bantuan dari Kelantan untuk menjatuhkan Sultan Omar. Tengku Ali tidak hadir semasa istiadat melantik Tengku Ahmad sebagai Yang Dipertuan Muda Terengganu. Sultan Omar telah menghantar rombongan ke Besut dan mendapati Tengku Ali sedang mengumpulkan pasukan bersenjata dari Kelantan.

Sultan Omar terus menghantar surat bantahan kepada pemerintahan Siam dan Singora dan memberi amaran kepada Kelantan supaya tidak campurtangan dalam hal ehwal tanah jajahannya. Sultan Omar menyiapkan 8000 orang tentera yang dketuai oleh Panglima Besar Orang Kaya Megat Seri Mahkota Raja (Wan Abd. Rahman bin Ali) untuk menyerang Besut melalui laut. Tengku Ali melarikan diri ke Kelantan. Selepas peristiwa ini, pemerintahan Besut diwakilkan kepada Tengku Ngah.
Apabila Tengku Ngah memerintah Besut, berlaku perebutan kuasa antara Baginda dengan Tengku Muda. Dalam keadaan genting, Tengku Ngah menyerahkan kuasa kepada adiknya Tengku Chik Haji. Tengku Muda berkuasa di Kampung Lampu manakala Tengku Chik Haji di Kampung Raja. Persengketaan ini amat meruncing dan menyebabkan Sultan Terengganu sendiri datang ke Besut untuk menyelesaikannya. 
Sultan Terengganu telah membuat cara penyelesaian yang baik tentang siapa yang berkuasa dimana baginda melantik Tengku Chik Haji sebagai Raja disebabkan kedudukan Kg. Raja di timur matahari naik sedangkan kedudukan Kg. Lampu di barat matahari jatuh. 
Kenaikan Tengku Chik Haji sebagai pemerintah Besut telah menyebabkan Besut mendapat kemajuan. Beliau mempunyai kuasa raja untuk menjatuhkan hukuman kepada orang yang melakukan kesalahan. Hasil yang dipungut tidak lagi menjadi hak mutlak sultan. 
Beliau juga mengambil berat mengenai Pendidikan Islam di mana di Kg. Palembang misalnya, pondok-pondok didirikan untuk mengajar agama. Wakaf-wakaf, Balai Polis dan lain-lain juga dibina. Istana yang pertama dibina pada 1878 dan masih ada hingga sekarang. 
Pemerintahan terakhir dalam dinasti beraja Palembang ialah Tengku Ngah. Beliau seorang pendiam tapi mengambil berat tentang kebajikan penduduk Kota Palembang dan Kg. Raja. Beliau dapat mengekalkan kemajuan dan keamanan Besut sebagaimana yang diasaskan oleh Tengku Chik Haji. 
Dikatakan pada waktu itu wakil Sultan di Kuala Terengganu sering datang ke Besut untuk mengutip hasil dari pemerintahan di Besut sebagai perbelanjaan membuat Bunga Emas untuk dihantar ke Siam. Tengku Ngah dikatakan mangkat pada tahun 1899 setelah memerintah Besut selama kira-kira 19 tahun.
Setelah kemangkatan Tengku Ngah, Besut ditadbir oleh Pesuruhjaya iaitu wakil kepada Sultan di Kuala Terengganu. Bermula dari sini kedudukan Besut sebagai sebuah negeri pun berakhir. Pesuruhjaya Besut yang pertama ialah Tengku Long atau gelarannya Tengku Seri Indera Segera. Kemangkatan Tengku Long pada 1909 telah menyebabkan Besut ditadbir terus dari Terengganu. 
Perjanjian Bangkok pada tahun 1909 di antara British dan Siam menyaksikan negeri-negeri utara Persekutuan Tanah Melayu jatuh sebagai Tanah Jajahan British. Sebagai satu daerah dalam Terengganu, Besut turut menerima perubahan di mana Kerajaan British menghantar Penasihat kepada sultan dan segala pentadbiran kecuali mengenai adat resam dan agama Islam.
Pada tahun 1910, kebakaran besar telah berlaku memusnahkan sama sekali Kota Palembang. Ini menyebabkan penduduk-penduduk berpindah ke Kg. Raja dan lain-lain kawasan. Keturunan raja tidak lagi mempunyai kuasa dan kebanyakannya masih lagi menetap di Kg.Raja sehingga sekarang.

Berikut ialah senarai Raja-raja Besut:
1.   Tengku Abdul Kadir ibni Sultan Mansur Riayat Syah Terengganu (1780-1835) - berkahwin dengan Engku Wan Penambang binti Sultan Long Yunus Kelantan[2]
2.   Tengku Ali bin Tengku Abdul Kadir (1864) - memberontak melawan Terengganu dan lari ke Kelantan pada 1874
3.   Tengku Hitam bin Tengku Abdul Kadir (1875-1881)
4.   Tengku Cik Tepok bin Tengku Abdul Kadir (1881-1882)
5.   Tengku Ngah bin Tengku Hitam (1882-1899)
6.   Tengku Long bin Tengku Ngah (Tengku Indera Segara Besut) (1899-1909)
·         Tengku Petri binti Tengku Long - ditabal DYMM Tengku Ampuan Kelantan, berkahwin dengan DYMM Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad IV Kelantan

Mukim-mukim :

 Mukim Bukit Kenak
 Mukim Bukit Puteri
·         Mukim Hulu Besut
·         Mukim Jabi
·         Mukim Kampung Raja
·         Mukim Keluang
·         Mukim Kerandang
·         Mukim Kuala Besut
·         Mukim Kubang Bemban
·         Mukim Lubuk Kawah
·         Mukim Pasir Akar
·         Mukim Pelagat
·         Mukim Pangkalan Nangka
·         Mukim Pulau Perhentian
·         Mukim Tembila
·         Mukim Tenang
·         Pekan Jertih
·         Pekan Kampung Raja
·         Pekan Kuala Besut
Seiring dengan peredaran masa, kini, Daerah Besut sedang pesat membangun dengan kegiatan ekonomi yang utama penduduk di Daerah Besut ialah berniaga,mengusahakan tanaman padi, sawit, getah dan lain-lain lagi. Masjid Hadhari terletak di Bandar Jertih dan dibina pada zaman Datuk Seri Idris Jusuh menjadi Menteri Besar Terengganu menjadi mercu tanda kepada pembangunan Besut. Selain itu, Masjid Kayu juga antara ikon bagi Bandar Jertih, terletak di persimpangan lampu isyarat Jalan Tok Has-Kuala Besut.

Rujukan
       7.  http://upen.terengganu.gov.my/index.php/data-asas-2014/

Bukan Sebab Air Empangan

HULU BESUT - Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) memaklumkan kejadian banjir luar biasa yang berlaku di beberapa kawasan di daerah ini bukan disebabkan tindakan melepaskan air daripada Empangan Paya Peda.Pengarahnya, Zulkifli Harun berkata, pihaknya tidak melepaskan air ke sungai utama ketika hujan lebat, yang bermula petang Jumaat dan berlarutan hingga Sabtu lalu.
Menurutnya, taburan hujan terlalu tinggi di enam lokasi seperti Jabi dan Kampung Raja merupakan penyumbang utama kejadian banjir, yang disifatkan agak besar kali ini.

“Hujan paling lebat dalam tempoh banjir itu direkodkan di Sekolah Kebangsaan Jabi iaitu 430 milimeter sehari, Tok Dor (401mm) dan Jertih (300mm), berbanding di Hulu Besut iaitu Kampung La (147mm) dan Keruak (85mm).Sebab itulah Hulu Besut tidak banjir, sebaliknya kawasan tengah dan hilir seperti Jabi, Kota Putera, Jertih serta Kuala Besut yang banjir,” katanya mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan pelepasan air di empangan berkenaan sebagai punca banjir besar kali ini.Zulkifli berkata, empangan berkenaan dibina untuk membekalkan air ke kawasan jelapang padi dan mengawal aliran air yang banyak akibat hujan lebat berterusan.
Kata Zulkifli, pihaknya ada melepaskan air daripada empangan bermula 5 Januari lalu, sebaik cuaca cerah selepas banjir gelombang pertama pada 3 dan 4 Januari.

“Kita ambil masa dua minggu untuk melepaskan air ke Sungai Besut daripada paras 54.7 meter sehingga ke paras normal 52 meter, iaitu sehingga pintu limpah empangan ditutup semula pada jam 4 petang Jumaat lalu apabila banjir kedua berlaku," katanya.

Tambahnya, susulan hujan lebat melanda daerah ini, pihaknya tidak melepaskan air lagi, sebaliknya menakung air hujan.Katanya lagi, air empangan hanya dilepaskan apabila cuaca baik bertujuan mengurangkan paras takungan air bagi memastikan empangan berkenaan sentiasa dapat menakung air baharu apabila berlaku hujan, sekali gus mengurangkan taburan air hujan masuk ke sungai.

“Ketika kita tutup pintu empangan Jumaat lepas, paras air ketika itu 52.9 meter dan paras air meningkat kembali sebanyak 1.1 meter menjadikan paras air pada keesokannya 54 meter.Peningkatan paras air 1.1 meter itu bersamaan 200 juta meter padu air tambahan yang ditakung di dalam empangan,” katanya.

Zulkifli berkata, dakwaan pihaknya melepaskan air barangkali kerana ada pihak melihat air keluar melalui bahagian bawah pintu empangan dan masuk ke Sungai Angga.
"Sebenarnya air itu kita panggil air keselamatan kerana mana-mana empangan sekalipun akan berbuat demikian kerana air keluar membabitkan kuantiti yang sedikit,” katanya.

(Nota: Dipetik daripada http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/bukan-sebab-air-empangan-1.617833)


Kerana Kejar Dunia, Terlepas Anugerah Allah


Kenapa ramai orang megabaikan majlis-majlis ilmu? Manusia lebih  terbuka langkahnya untuk memenuhi lapangan pasar malam, karnival dan ekspo atau bersantai-santai di warung dan restoran hingga larut malam.


Kata Ustaz Rosli Jabar dalam kuliah Maghribnya, ini semua disebabkan oleh manusia tidak tahu nilai ilmu agama walaupun mereka tahu ilmu itu penting dalam kehidupan. Yang manusia tahu hanya ilmu yang boleh mendatangkan gaji yang besar, ilmu yang membolehkan mencapai darjat dan pangkat yang tinggi.

Ustaz memberi contoh bagaimana besarnya nilai ilmu. Kisah Khalifah Umar r.a. dengan budak pengembala kambing. Apabila Umar mahu membeli kambing, budak itu berkata bahawa dia hanya pengembala kambing. Belilah dengan tuanpunya kambing.

Umar menguji lagi,” Juallah kambing itu kepadaku. Majikan kamu tak akan tahu jika kau menjual seekor kambing kepadaku. Katakan saja kambingmu itu dimakan serigala.”Jawab budak itu lagi, “benar tuan kambing tak tahu. Tetapi Allah tahu.”
Umar amat kagum dengan kefahaman agama budak itu. Tanpa kefahaman ilmu, bagaimana bisa budak itu bersikap sejujur demikian. Inilah nilai kefahaman ilmu.

Seperti mana hadis  daripada Mu'awiyah (RA): Saya pernah mendengar nabi bersabda: "Sesiapa yang Allah hendakkan kebaikan kepadanya, Allah akan berikan kepadanya kefahaman agama." [Bukhari dan Muslim].

“Cuba fikir sejenak. Allah itu Maha Kaya,” kata Ustaz Rosli. “Kurniaan yang Dia hendak beri kepada hamba-hamba yang dipilih-Nya sudah pastilah sesuatu yang amat tinggi nilainya. Maka sudah pastilah kefahaman ilmu adalah sesuatu yang tak terhingga tinggi nilainya. “ Hanya manusia yang sibuk pagi, petang dan malam mengejar dunia tak berpeluang untuk menadah anugerah Allah ini.

Kredit: http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=33340

Terima Kasih Daun Keladi